"Adik-adik dapat semuanya, dulu saya tak dapat apa pun!"
"Kenapa adik A dapat laptop? Baru tingkatan empat! Dulu saya beli laptop di universiti guna duit biasiswa!"
" Yelah, dulu saya jalan kaki je dalam kampus, adik B boleh pula mama belikan dia kereta!"
"Sampai hati ayah, tiap-tiap hari 'topup'kan untuk adik C. Untungla dia, bukan mcm aku."
"Menyampah aku tgk adik D, mama asyik urutkan kaki dia je. Kaki aku ni lenguh-lenguh tak de pulak aku mengada-ngada macam dia!"
"Tak adil betul mak dan ayah, saya bertunang dulu tak buat besar-besaran macam adik E pun!"
"Aku pun jarang balik juga, tapi mak asyik masakkan masakan kegemaran adik F je. Benci".
Ungkapan ini selalu kita dengar dari mulut anak-anak sulung kan?
Kenapa selalu terjadi begini?
Sedangkan jarak umur tidak begitu jauh, kadang-kadang kita dengan
adik-adik selang setahun sahaja. Sedangkan kita pun belajar rajin-rajin
untuk ambil hati mak ayah kita.
Sedangkan kita pun berlumba-lumba buat baik untuk dapat secebis perhatian mereka.
Sedangkan kita pun berusaha untuk penuhi segala impian ibu bapa kita.
Sedangkan kita tak putus-putus doakan mereka, dalam doa, setiap ingatan adalah untuk mereka.
Pendek kata semuanya, segalanya telah kita cuba lakukan untuk menawan hati mereka.
Tapi, kita masih berasa gagal, berasa ibu bapa kita tidak adil, pilih kasih, dan suka melebih-lebihkan adik-beradik yang lain!
Kenapa ya?
Wahai anak-anak sulung dan mungkin sulung.
Bersabar banyak-banyak ya. Sebenarnya inilah peluang kita untuk mengadu
pada Allah sebanyak-banyaknya, betapa sedih hati kita, betapa kecewanya
kita dengan sikap ibubapa kita. Jangan risau anak-anak sulung, Allah
Maha Menghitung, setiap niat di hati kecil kita, setiap apa yang kita
usahakan, setiap kebaikan yang kita cuba lakukan, semuanya Allah hitung.
Jika mereka tidak memandang, jika mereka tidak sebut-sebut, anggap
sahaja usaha itu sebagai percubaan kita untuk membalas jasa mereka yang
tidak ternilai besarnya di dunia ini. Tidak rugi kita membuat kebaikan
pada mereka, malah Allah janjikan syurga bagi mereka yang berbuat baik
pada ibubapa. Mereka berdua ialah insan yang paling banyak
menggembirakan kita sewaktu kecil dulu. Mereka berdua ialah insan yang
paling gembira semasa kita dilahirkan ke dunia ini. Besarnya jasa mereka
tetap tidak dapat kita balas walau dengan segunung emas. Apalah
kecilnya kebaikan kita jika hendak dibandingkan dengan susah payah
mereka dahulu??
Anak-anak sulung yang disayangi Allah..
Lihat ke belakang, mungkin ada silap kita yang menyakiti hati mereka tanpa kita sedari?
Mungkin kata-kata kita selalu pedas? Atau terlalu banyak bunga-bunga 'api' dalam kata-kata kita kepada mereka?
Mungkin ada perbuatan kita yang terus-terusan membuat mereka benci atau
ada sikap kita yang membuatkan mereka 'fed-up' dan rimas? Pengotor,
atau suka marah-marah?
Mungkin kita suka mengungkit-ungkit kebaikan yang kita lakukan pada mereka?
Cuba muhasabah kembali apa sikap yang ibubapa kita benci? Atau
risik-risik pada adik-beradik yang menjadi 'anak emas' mereka, manalah
tahu kalau-kalau ibubapa kita mengadu pada mereka. Sekurang-kurangnya
kalau sudah jelas, boleh juga kita cuba berubah. Ya tak? Cubalah.
Peralihan zaman juga mungkin sebabnya. Dulu, ibubapa kita susah, gaji
tidaklah sebesar gaji sekarang. Nak makan di luar pun susah, apatah lagi
nak bermewah-mewahan. Tapi sekarang, adik-adik beruntung, apa sahaja
yang di'godek-godek' pada ibu, semuanya akan dibeli. Apa saja yang
di'ngomel-ngomel' pada ayah, terus boleh dapat. Betul kan?
Sebenarnya kita bertuah.
Bertuah kerana Allah telah memilih kita bersama-sama mengharungi hidup
'susah' dahulu dengan ibubapa kita. Mungkin waktu itu adik-adik kita
masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Mereka terlepas saat-saat sukar yang
mengikat hati, menambah sayang kita pada ibubapa kita. Kita menyaksikan
'kesusahan' mereka di depan mata kita, membuatkan kita nekad untuk
memberi yang terbaik dalam hidup kita untuk mereka. Adik-adik merasai
kemewahan hari ini tanpa melalui 'kesusahan' dahulu, itu rezeki mereka.
Percayalah, rezeki kita tetap ada. Allah kan Maha Adil?
Bertuah lagi sebab kita tidak menyusahkan ibubapa kita dengan meminta
itu dan ini. Tidak memberatkan mereka dengan permintaan kita, walaupun
ibubapa kita mampu. Kita anak-anak sulung yang baik, meringankan ibubapa
kita. Nak meminta-minta tak sampai hati, kan? Mereka pun tak pening
kepala nak penuhi permintaan kita. Bertuah kan kita?
Ada lagi
bertuah? Bertuah lagi sebab ibubapa kita sebenarnya menganggap kita
sudah pandai berdikari dan boleh menguruskan diri. Anak sulung hatinya
kuat. Apa sahaja boleh dibuat. Sayang adik-adik, selalu mengalah. Sayang
ibubapa, selalu menolong apa sahaja, sebab kita besar daripada
adik-adik. Sebab itu ibubapa kita kurang memberi-beri pada kita, baik
pada kasih sayang, mahupun material. Kita kan anak sulung yang hebat??
Buat anak-anak sulung yang memang Allah kasihi,
Sesungguhnya setiap manusia diuji dengan ujian yang berbeza. Bukan kita
sahaja yang diuji sebegini, ramai lagi yang lebih hebat ujiannya. Ada
mereka yang tidak pernah merasa kasih sayang ibubapa sejak lahir lagi.
Cukuplah ibubapa kita telah berjaya membesarkan kita, merasa kasih
sayang mereka sejak kita kecil. Ibubapa kita juga manusia, tidak
terlepas daripada membuat kesilapan. Mana ada ibubapa yang bencikan
anak, cuma kadang-kadang mereka terlepas pandang anak sulung mereka ini,
atau mereka sedang berkecil hati dengan kita. Maafkanlah mereka,
bersangka baik dan jangan berhenti membuat kebaikan kepada mereka.
Jangan sesekali menghitung kebaikan kita kepada mereka. Jadilah anak
sulung yang cekal, baikhati dan sentiasa berserah segalanya pada Allah.
"Sayang ibu berkorban nyawa, sayang ayah berkorban jiwa". Terus kuat ya
anak-anak sulung!