Saturday, December 10, 2011

Gerhana Bulan Penuh

10 Disember 2011

Kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.
 
Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam  Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh)  pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. 

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.
Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):
Moon enters penumbra:      2011 Dec 10  19:31:37
Moon enters umbra:             2011 Dec 10  20:45:11
Start of totality:                       2011 Dec 10  22:05:29
Maximum eclipse:                2011 Dec 10  22:31:36
End of totality:                        2011 Dec 10  22:57:45
Moon leaves umbra:            2011 Dec 11  00:18:04
Moon leaves penumbra:     2011 Dec 11  01:31:30
Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. 
Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Okt 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Oleh itu jangan lepaskan peluang menyaksikan KESELURUHAN fasa Gerhana Bulan Penuh malam nanti...

No comments:

Post a Comment