KEGUGURAN pada usia dua atau tiga bulan memang sering didengar. Bagi kebanyakan wanita, pengalaman sendiri atau kisah daripada rakan menjadikan mereka lebih berhati-hati pada awal kehamilan.
Tetapi apa sebenarnya yang anda tahu mengenai keguguran? Mengikut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Salleh Mohd Yatim, kandungan yang ‘jatuh’ 28 minggu ke bawah didefinasikan sebagai keguguran tetapi jika ia ‘jatuh’ selepas tempoh itu ia dinamakan kelahiran.
“Dari sudut kesihatan, anda harus tahu keguguran dibahagi kepada beberapa jenis (type) dan sama ada keguguran itu adalah keguguran normal (spontan) atau pengguguran haram, kedua-duanya memiliki risiko jika tidak dirawat dengan betul,” katanya.
Dari sudut kesihatan, Dr Salleh berkata, keguguran sebenarnya berlaku disebabkan faktor ibu dan janin. Dalam kebanyakan kes, usia ibu yang lanjut, ibu berpenyakit seperti kencing manis, buah pinggang, endokrin dan lain-lain penyakit yang tidak dirawat atau dikawal rapi boleh membawa kepada keguguran.
Selain itu, kecacatan pada pangkal rahim (cervical incompetence) dan kecacatan rahim (uterus) juga boleh menyebabkan keguguran.
“Kerana itu, sebelum seseorang wanita hamil, dia sepatutnya berjumpa dengan doktor bagi memastikan tahap kesihatannya. Sebaiknya enam bulan sebelum hamil. Ini bagi memastikan dia tidak berhadapan dengan apa-apa risiko jika hamil. Tetapi kebanyakan wanita Malaysia akan hamil tanpa berjumpa dengan doktor dan akan hanya mengetahui risiko kesihatan yang bakal mereka hadapi selepas kandungan berusia beberapa bulan,” katanya.
Begitupun, walaupun ibu sihat dan bersedia untuk hamil, keguguran juga boleh terjadi jika janin dalam kandungan tidak stabil. Ini merujuk pada kandungan yang gugur sebelum berusia tiga bulan. Biasanya janin tidak sempurna dan tidak boleh hidup di luar kandungan.
Ada juga janin yang tidak sihat ini terus membesar dan lahir ke dunia. Malangnya apabila mereka lahir, bayi ini tidak boleh hidup tanpa bantuan makanan seperti dalam kandungan. Apabila ini terjadi biasanya bayi akan meninggal dunia tidak berapa lama selepas dilahirkan.
Jika ditinjau dari sudut undang-undang dan agama, pengguguran tidak dibenarkan sama sekali kecuali kandungan itu boleh membahayakan kesihatan ibu dan menyebabkan kematian.
Pengguguran haram pula, mengundang maut dan masalah kesihatan kerana cara yang tidak sempurna boleh menyebabkan banyak masalah kepada ibu. Antara masalah biasa pengguguran haram termasuklah pendarahan, jangkitan, septisimea dan kematian juga boleh berlaku.
Jenis keguguran
* Threatened abortion
BIASANYA bakal ibu mengalami pendarahan tetapi apabila pemeriksaan dilakukan, kandungan masih lagi hidup. Pesakit dinasihatkan banyak berehat dan mengelak daripada kerja-kerja fizikal yang berat. Kemungkinan pendarahan akan berhenti dan kandungan kembali stabil itu ada.
* Inevitable abortion
MERUJUK keguguran yang tidak boleh diselamatkan. Biasanya ibu akan berasa sangat sakit dan pemeriksaan mendapati pintu rahim sudah terbuka.
*Complete abortion
PESAKIT akan mengalami kesakitan dan pendarahan pada mulanya. Dalam keadaan ini keguguran berlaku di mana janin dan segala tisu yang berkaitan keluar dengan sendirinya.
* Incomplete abortion
KEGUGURAN yang tidak ‘membersihkan’ seluruh ruang rahim. Apabila pemeriksaan dilakukan selepas keguguran, didapati bahawa masih terdapat tisu-tisu atau janin di dalam rahim.
* Missed abortion
BIASANYA, ia disedari apabila si ibu berhenti mengalami alahan seperti sebelumnya, apabila perut tidak membesar seperti yang dijangkakan atau bayi di dalam kandungan tidak bergerak. Pemeriksaan akan mendapati bahawa janin meninggal.
* Septic abortion
KEADAAN ini berlaku apabila keguguran disertai jangkitan pada fetus, placental atau endometrium. Demam adalah simptom keguguran begini dan disertai simptom yang dikaitkan dengan keguguran biasa seperti pendarahan. Antara sebab berlakunya jangkitan, ia dikaitkan dengan tisu placental atau fetal yang tertinggal dalam rahim berikutan incomplete abortion.
No comments:
Post a Comment