SETIAP manusia pasti menyimpan kenangan paling bersejarah dalam hidupnya. Umpamanya, kenangan ketika pertama kali berjumpa buah hati atau saat manis menggenggam kejayaan dalam pendidikan, kerjaya dan bidang diceburi.
Kebahagiaan itu terpancar bersama kesyukuran. Hingga ke hari ini, terlalu banyak detik bahagia yang pernah dilalui. Bagi seorang mukmin, sebenarnya ada saat terlalu istimewa yang tidak dapat dibeli dengan dunia dan segala isinya.
Ia terlalu mahal dan tidak mungkin sesiapa pun dapat memperoleh kemanisan itu dengan tangannya sendiri kerana ia suatu anugerah terhebat dalam sejarah kehidupan manusia. Inilah yang disebut sebagai saat bersejarah ketika hati menadah titisan hidayah Allah.
Kali pertama bisikan kebenaran mampu melapangkan hati nurani kita, sehingga tiada terdetik pun keinginan, kecuali kepada Allah dan dia menjadi cukup bahagia menjadi hamba-Nya saja. Padahal, ketika itu kebanyakan manusia berkeinginan kepada dunia dan bercita-cita menjadi raja.
Perasaan itu pernah hadir di hati Umar al-Khattab yang membenci Allah dan Rasul-Nya pada peringkat awal, tetapi selepas mendengar bisikan hidayah menerusi alunan nada keramat Kalam Allah, beliau hanyut dalam kolam hidayah yang menyucikan jiwanya.
Demikianlah keadaan manusia jika Allah menghendaki, maka tiada sesiapa yang mampu menghalang dan jika Allah menolak, tiada sesiapa boleh memujuk. Bahawa bernilai setiap detik yang mengandungi hidayah bagi setiap insan.
Namun, ramai manusia yang bukan hanya sekali mendapat hidayah bahkan berkali-kali diberi peluang sepanjang hidupnya. Cara hidayah Allah diturunkan kepada manusia bermacam-macam, ada yang diuji supaya bertaubat, tetapi dia hanya sedar pada saat goncangan pertama.
Sesudah badai berlalu dalam hidupnya, dia pun kembali tenggelam dalam kenikmatan yang alpa. Sayang sungguh jika hidayah itu hinggap sebentar, kemudian terbang entah ke mana. Manusia yang lalai ini beralasan hatinya belum terbuka, jiwanya tidak siap menerima perubahan dan dia masih menunggu hidayah Allah yang lain untuk menyucikan jiwa raganya.
Maka insan istimewa ini menunggu sepanjang hidupnya, menghitung hari sambil melayan keinginan nafsu yang tidak pernah puas menikmati dunia. Seolah-olah segala apa yang dia mahu Allah akan makbulkan.
Terbuka jalan selebar-lebarnya untuk mendapat apa keinginan, tetapi sayang hanya satu yang Allah tidak bagi, satu yang teramat mahal bernama hidayah. Ditutup pintu hidayah dalam hatinya sehingga dia tidak pernah merasai puncak kenikmatan yang dirasai orang beriman.
Hidayah adalah milik Allah. Sesiapapun tidak berkuasa memberi hidayah kepada sahabatnya, isteri, anak atau ibu bapanya sendiri. Hal itu, dinyatakan Allah kepada Rasul-Nya yang bersedih kerana bapa saudara dikasihi tidak mahu menerima Islam.
Begitu pula dalam kisah Asiyah yang beriman tidak dapat menolong suaminya yang kufur dan anak Nabi Allah Nuh yang tenggelam tidak mahu menerima keimanan, walaupun bapanya seorang Rasul.
Bahkan Allah menegaskan mengenai orang yang menolak hidayah Allah, dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Jika kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang yang sudah mati berbicara dengan mereka dan kami kumpulkan pula segala sesuatu ke hadapan mereka, nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.� (Surah al-An’am, ayat 111)
Dalam hati kita sentiasa terdengar bisikan iman iaitu hidayah Allah. Sejauh mana seseorang mahu mendengar bisikan hidayah, itu pilihannya sendiri. Tidak akan kekal iman yang dipaksa dan tidak akan kukuh keyakinan kerana terpaksa.
Biarlah hidayah itu berakar kuat dalam hati, tetapi jangan pula hanyut dalam angan-angan tanpa usaha mendapatkan hidayah. Sesungguhnya hidayah itu mesti dicari, digenggam dan dikekalkan selama-lamanya dalam kehidupan.
Iman sifatnya relatif, berubah-ubah, mengikut masa dan keadaan. Ada yang tetap iman dan semakin tinggi darjatnya. Ada pula sekali melonjak hingga ke puncak, lama kelamaan pudar ditelan gelombang kehidupan.
Setiap insan berada atas dua pilihan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Syurga itu lebih dekat kepada seseorang daripada tali kasutnya dan demikian juga dengan neraka.� (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Bagi yang sudah memiliki iman atau hidayah kurniaan Allah, sesungguhnya iman itu tidak cukup sekadar melahirkan tangisan sekejap atau kesedaran yang hanya sebentar. Manusia hendaklah mengekalkan hidayah yang menerangi hatinya, sekali gus menambah kualitinya supaya cabaran kehidupan tidak memperdaya diri.
Hanya satu jalan mencari hidayah Allah itu dengan mendekati ulama yang ikhlas dan menuntut ilmu agama bersandar kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Berusaha bersungguh-sungguh meletakkan diri di kalangan orang soleh, penuntut ilmu yang ikhlas dan pembela agama Allah dalam bidang apapun.
Ilmu dan ulama adalah warisan Nabi yang bertugas menunjukkan jalan diredai Allah sebagai penyambung mata rantai keimanan untuk memastikan agama Allah tetap hidup atas muka bumi ini.
Al-Imam Ibnu al-Jauzi menulis mengenai keutamaan ilmu dalam kitab beliau bertajuk Shaydul Khatir: “Ilmu membawa diriku menuju pengetahuan mengenai Sang Pencipta dan ilmu menyuruhku untuk berbakti kepada-Nya. Maka aku pun tunduk di hadapan kekuasaan-Nya seraya melihat sifat-Nya. Hatiku juga merasai getaran kebesaran-Nya sehingga aku tertunduk malu kerana cinta kepada-Nya. Ilmu juga yang menggerakkan aku untuk sentiasa berada dekat ke riba-Nya dan menolong aku mencapai ketinggian ubudiyah kepada-Nya. Aku hanyut dalam kebesaran-Nya setiap kali mengingati-Nya dalam zikirku. Saat menyendiri adalah saat ibadahku untuk-Nya. Apabila terdetik hatiku mahu meninggalkan ilmu, ia berkata: Apakah kamu mahu berpaling dariku, padahal akulah yang menjadi petunjuk jalanmu sehingga kamu mengenal Allah? Aku pun menjawab: Sesungguhnya engkaulah penunjuk jalan, tetapi aku sudah sampai ke destinasi, masihkah aku memerlukan petunjuk jalan? Ilmu berkata lagi kepadaku: Oh, tidak! Setiap kali bekalmu bertambah, akan bertambah pula pengetahuanmu mengenai Kekasihmu dan kamu semakin faham bagaimana cara mendekati-Nya. Esok kamu akan tahu sebenarnya hari ini kamu masih banyak menyimpan kekurangan. Tidakkah kamu mendengar firman-Nya kepada Nabi SAW: “Katakanlah (Wahai Muhammad) Oh Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.� (Surah Taha, ayat 14)
Setiap Muslim yang mahukan hidayah Allah tetap hidup di hatinya tidak dapat melalui jalan lain, selain jalan ilmu. Menggali ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menjadi agenda terpenting dalam rutin hariannya.
Bertanya dan mengkaji nilai Islam dengan penuh tanggungjawab serta mendekati ulama yang ikhlas semata-mata kerana mahu membuka setiap pintu rahsia mengenai mencintai Allah. Sesungguhnya jalan terbentang luas di hadapan kita terlalu sulit dilalui. Hanya dengan bekal ilmu, hidayah Allah, setiap insan akan mampu menghabiskan harinya di dunia dengan selamat sehingga bertemu Allah dengan reda lagi diredai.
No comments:
Post a Comment